Pengerusi Yayasan Eco World, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, sumbangan buat pertama kali itu bagi menubuhkan 10 buah prasekolah bagi masyarakat Orang Asli yang terletak di kawasan pendalaman di negara ini.

Lam Thye berkata, projek yang turut melibatkan kerjasama Agensi Inovasi Malaysia (AIM) itu melibatkan tujuh buah sekolah di Gua Musang, Kelantan dan tiga buah sekolah lagi di Rompin, Pahang.

Tambah beliau, menariknya, kerjasama ketiga-tiga pihak tersebut telah berjaya melatih 10 orang belia Orang Asli di ke­dua-dua negeri terlibat dan mereka kini bertindak menjalankan kelas prasekolah yang ditubuhkan di kampung masing-masing secara berperingkat-peringkat.

“Memang objektif Yayasan Eco World untuk memberi bantuan pendidikan asas kepada pelajar dan murid miskin tanpa mengira kaum dan agama termasuklah Orang Asli yang sebelum ini banyak ketinggalan dari segi pendidikan.

“Ini kerana bagi kami, pendidikan yang baik boleh mengubah hidup seseorang ke tahap yang lebih baik serta mampu memberi sumbangan kepada negara suatu masa nanti. Atas sebab itulah, kami tidak ragu-ragu dalam membiayai program E2T ini yang telah dimulakan pada Januari lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan program tersebut di perkampungan Orang Asli di Kampung Sungai Poh dekat sini baru-baru ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif AIM, Naser Jaafar berkata, E2T adalah program yang melatih dan memberi motivasi kepada bakat-bakat terpendam dalam kalangan komuniti Orang Asli yang boleh diperkasakan bagi memulakan kelas prasekolah di kampung mereka.

“Prasekolah di Kampung Sungai Poh, Gopeng ini kini menjadi tempat latihan bagi belia Orang Asli untuk mempersiapkan diri mereka sebelum menjalankan kelas prasekolah dalam komuniti mereka.

“Melaluinya nanti, anak Orang Asli berpeluang mempelajari asas yang kukuh dalam pendidikan awal kanak-kanak yang akan membantu mereka ketika pembelajaran di sekolah rendah kelak,” katanya.

Dalam pada itu, seorang guru Orang Asli, Wahdinah Bah Haron, 37, berkata, harapannya untuk bergelar guru tidak akan berjaya tanpa adanya program E2T kerana dirinya tidak mempunyai latar belakang pendidikan yang tinggi.

“Saya datang daripada keluarga yang susah dan kedua ibubapa saya tidak mampu untuk membayar yuran universiti. Minat untuk menjadi seorang guru memang sudah lama tetapi saya hanya ada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sahaja.

“Saya mendapat tahu tentang program ini daripada saudara saya dan saya tidak membuang masa dan terus mendaftarkan diri. Niat saya satu iaitu untuk mengubah nasib masyarakat Orang Asli terutamanya di kampung saya, Kampun Sungai Poh supaya mereka mendapat pekerjaan yang lebih baik,” katanya.

Hasil program E2T, Wahdinah kini bukan sahaja menjadi guru prasekolah di kampung tersebut malah bertindak sebagai tenaga pengajar untuk melatih belia Orang Asli yang lain sehingga mampu untuk mengendalikan sekolah prasekolah di kawasan masing-masing.