Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, perkara tersebut mampu dicapai menerusi langkah dan usaha kerajaan negeri mengamalkan perbelanjaan berhemah terhadap kewangan negeri.

Tambah Ahmad Faizal, kerajaan negeri juga sedang menjalankan usaha mengukuhkan kedudukan kewangan negeri selain mencari sumber-sumber kewangan yang lain yang tidak hanya tertumpu kepada hasil pembalakan.

“Kita sedang mencari dan meneroka hasil kewangan ne­geri yang baharu. Contohnya, menerusi caj air bawah tanah dan pembinaan menara-menara telekomunikasi.

“Kerajaan negeri juga tidak mahu hanya bergantung kepada hasil hutan dan pembalakan sahaja. Oleh itu, kita telah me­ngenal pasti sumber kewangan baharu antaranya caj kepada laluan talian rintis yang melalui hutan-hutan simpan kita. Bagaimanapun, pelaksa­na­an­nya akan mengambil sedikit masa kerana ia melibatkan isu perundangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Saarani Mohamad (BN–Kota Tampan) pada Mesyuarat Ketiga Penggal Pertama Sidang DUN Perak Ke-14 di sini hari ini.

Selain itu, Ahmad Faizal yang juga Ahli Dewan Undangan Ne­geri (ADUN) Chenderiang berkata, kerajaan negeri juga kini sedang berusaha untuk mendapatkan semula bayaran tunggakan daripada kerajaan Persekutuan yang dijangka selesai penghujung tahun ini.

Dalam pada itu, ketika menjawab soalan tambahan daripada Dr. Ko Chung Sen (PH-Kepayang), Ahmad Faizal berkata, kerajaan negeri sedang melakukan audit forensik terhadap syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC) bagi mengesan punca kerugian yang dihadapi mereka.

“Kita juga sedang meneliti perjanjian yang telah dibuat pentadbiran sebelum ini, agar kepen­tingan kerajaan akan lebih terjaga.

“Pada pandangan saya, sama ada shortfall itu berlaku disebabkan salah laku atau penyelewe­ngan, itu kita akan siasat dan jika terbukti ia benar, kita akan ambil tindakan,” katanya.