Lebih menyedihkan, rata-rata daripada mereka mengakui terbeban dengan potongan gaji yang telah dilaksanakan biarpun mereka cuba untuk mendapatkan pengurangan pembayaran tetapi akhirnya ditolak kerana langkah itu tiada dalam dasar Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA).

Seorang pembeli, Raja Ibrahim Putera Raja Mustapha, 34, berkata, dia mula mendapat surat tawaran pada bulan Jun 2016 dan projek perumahan itu dijadualkan siap dalam tempoh dua tahun iaitu Jun 2018.

“Kelebihan projek PPAM ialah ia mendapat rebat sebanyak RM50,000 dan kita yakin dengan projek ini kerana mendapat sokongan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) ketika itu.


KEADAAN projek Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) Taman Sri Asoka Fasa 4 di Tapah yang terbengkalai. - UTUSAN ONLINE/KAMAL BASIR WAHAB

“Namun, selepas dua tahun, projek ini masih belum siap dan saya boleh bercakap dengan penuh yakin bahawa tiada pembangunan dilakukan di sini sejak bulan Ogos tahun lalu,” katanya ketika ditemui di tapak pembinaan projek perumahan tersebut di sini hari ini.

Menurut Raja Ibrahim Putera, para pembeli menerusi persatuan yang mereka tubuhkan, cuba mendekati KPKT bagi menyelesaikan permasalahan itu namun, LPPSA tidak boleh berbuat apa-apa kerana potongan gaji mesti dilakukan selepas tempoh dua tahun, tidak kira sama ada projek perumahan itu telah pun selesai atau tidak.

Dia berkata, ada antara mereka yang telah dikenakan potongan gaji seawal bulan Jun tahun lalu dengan anggaran sekitar RM1,000 ke RM1,500 sebulan.

“Dari tahun lepas, kami memang ada cuba menghubungi pihak pemaju tetapi kebiasaannya, dua perkara berlaku iaitu nombor tidak dapat dihubungi dan keduanya, orang yang menjawab panggilan itu tidak memahami bahasa yang kami sampaikan sama ada dalam bahasa Melayu atau bahasa Inggeris.

“Kami telah menghantar surat rasmi kepada Ketua Pengarah Jabatan Perumahan Negara untuk menyelesaikan masalah ini dan selepas itu baru pemaju datang dalam satu mesyuarat pada dua minggu lepas,”katanya.

Seorang lagi pembeli, Faizul Ruzi Mohd Fadzir, 36, dan isterinya Haryati Mahmoh, 33, dari Jasin, Melaka, berharap rumah pertama mereka itu dapat disiapkan dengan segera.

“Kami sekarang menyewa dan dipotong gaji lagi untuk pembayaran rumah ini sebanyak RM1,000 dari September tahun lepas. Kalau rumah penjawat awam kerajaan sendiri tidak tolong, siapa lagi hendak tolong kami.

“Kami sebagai pembeli merasa tersepit kerana tidak tahu hendak buat macam mana. Sepatutnya, biarlah projek PPAM ini dibuat oleh pemaju yang ada kredibiliti,” katanya.

Bagi pegawai bomba Azarina Adam, 33, dari Klang, Selangor, pula, dia yakin untuk membeli kediaman PPAM tersebut kerana memikirkan tiada masalah yang bakal dihadapi melibatkan pemaju, namun impian untuk menjaga ibunya di rumah baharu sehingga kini masih belum tercapai. - UTUSAN ONLINE