Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dalam satu kenyataan bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy berkata, kedua-dua pihak akan bekerjasama untuk menyelesaikan sebarang isu berkaitan komuniti Orang Asli.

“Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri mengambil serius perkara berkaitan hak-hak komuniti Orang Asli.

“Satu pertemuan telah berlangsung semalam melibatkan Ahmad Faizal dan Waytha Moorthy serta turut dihadiri oleh Peguam Negara bagi membincangkan isu Orang Asli Kampung Cunex,” kata kenyataan tersebut di sini hari ini.

Sehubungan itu, Ahmad Faizal berkata, pihaknya telah mengeluarkan arahan untuk menghentikan sementara semua aktiviti pembalakan dalam kawasan yang menjadi pertikaian sehingga proses perbincangan melibatkan kerajaaan negeri dan komuniti Orang Asli selesai. - UTUSAN ONLINE