Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Islam, Industri, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan negeri, Asmuni Awi berkata, titah baginda perlu dipatuhi oleh semua pihak pentadbir masjid dan surau di negeri ini.

Menurut beliau, ia juga merupakan satu pandangan yang baik dan secara tidak langsung boleh memberi peluang kepada pelajar-pelajar tahfiz tempatan untuk dilantik sebagai imam.

“Inilah masanya pelajar-pelajar tahfiz kita yang berkelayakan dipilih untuk dilantik menjadi iman Rarawih sepanjang Ramadan nanti.

“Ramai dalam kalangan golongan tahfiz ini memiliki mutu bacaan yang baik selain mempunyai penguasaan ayat-ayat yang pelbagai,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Kad Prihatin Perak Bagi Dewan Undangan Negeri Manjoi di Dewan Serbaguna Sungai Tapah, Manjoi di sini hari ini.

Seramai 700 penerima yang terdiri daripada penduduk kurang berkemampuan menerima kad berkenaan.

Melalui kad tersebut, penerima akan menerima pembiayaan sebanyak RM80 sebulan untuk pembelian makanan asas dan RM300 untuk rawatan di klinik panel bagi tempoh setahun.

Semalam, Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria memberitahu, Sultan Nazrin Shah Sultan Azlan Shah bertitah tidak membenarkan imam-imam dari luar negara menjadi imam Tarawih di semua masjid di negeri ini.

Oleh itu, Jabatan Mufti Perak mengesyorkan masjid-masjid dan surau-surau di Perak menggunakan khidmat pelajar tahfiz tempatan untuk memimpin solat Tarawih.

Jelas Asmuni lagi, dalam konteks solat tarawih kebiasaannya ada dalam kalangan kariah masjid atau surau inginkan kelainan dalam penyampaian oleh imam berbanding bacaan ayat-ayat lazim.

“Memiliki imam yang baik serta penyampaian bacaan surah yang berbeza merupakan antara penarik kehadiran kariah di sesebuah masjid atau surau. Kita percaya pelajar-pelajar tahfiz boleh mengisi keperluan ini,” katanya. - UTUSAN ONLINE