Kawasan tersebut yang terletak kira-kira tiga kilometer dari pekan Pusing dekat sini ditanam dengan pelbagai jenis tanaman antaranya durian, mempelam, cempedak, jagung selain kelapa sawit.

Seorang pekebun, Koh Kah Kam, 48 berkata, ada pihak luar melakukan kerja-kerja ukur tanah di kebunnya minggu lalu dan memberitahu tanah berkenaan ingin dibangunkan.

Katanya, walaupun tiada sebarang notis diterima tetapi perkara itu merisaukan kerana ada antara tanamannya baru membuahkan hasil.

“Saya mengusahakan kebun seluas empat hektar yang ditanam durian, mempelam dan cempedak.

“Sebanyak 200 batang pokok durian musang king yang ditanam 12 tahun lalu pula baru membuahkan hasil dan banyak kos telah dibelanjakan,” ujarnya ketika ditemui hari ini.

Kata Kah Kam, sejak 10 tahun lalu dia telah beberapa kali mengemukakan permohonan kepada pejabat tanah untuk menyewa tanah berkenaan tetapi tidak mendapat balasan.

Jelasnya lagi, perkara itu dibuat setelah menerima cadangan daripada pihak Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan hasil beberapa program ceramah tani yang disertainya.

Kebimbangan sama disuarakan pegusaha mempelam, Peter Wong Koon Fook, 51, kerana kebanyakan pekebun di situ mengusahakan tanaman secara sendirian dengan sumber kewangan yang terhad.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia, Sarasvathy Muthu berkata, kerajaan negeri perlu mengambil langkah proaktif dan tidak mengusir pekebun berkenaan.

Ini katanya termasuk melaksanakan program pemutihan agar pekebun berkenaan diberi hak menyewa tanah sekali gus menyumbang kepada pembangunan industri tani.

“Mereka merupakan pekebun yang gigih kerana telah mengusahakan tanah terbiar sejak 40 tahun lalu yang kini menjadi kawasan pertanian berjaya.

“Sepatutnya aktiviti pertanian seperti ini dibantu kerana membekalkan sumber makanan sekali gus menyumbang kepada ekonomi negeri,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE