Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar negeri, Dr. Abdul Aziz Bari berkata, langkah tersebut sebagai suatu tindakan pemantauan khususnya melibatkan sekolah berasrama mahupun sekolah-sekolah harian di Perak.

“Saya akan bekerja dengan pihak-pihak ini untuk melihat kekerapan atau sejauh mana seriusnya kejadian itu berlaku dengan mengambil kira langkah-langkah yang diperlukan.

“Saya yakin pihak-pihak berkenaan (pengendali kantin) mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan, cuma dengan adanya statistik ini, kita dapat melihat data seperti kawasan dan sekolah mana yang terlibat sebelum mengemukakan kepada pihak Kementerian Pendidikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas turun padang meninjau Sekolah Kebangsaan (SK) Cator Avenue yang berdepan kes keracunan makanan apabila lapan murid dibawa ke hospital semalam selepas mengalami sakit perut dan muntah ekoran minum pagi di kantin sekolah berkenaan.

Abdul Aziz bagaimanapun menyifatkan kes berkenaan sebagai agak terpencil dan tidak serius kerana ia melibatkan pengendali kantin berpengalaman, malahan kesemua murid terlibat telah dibenarkan pulang selepas menerima rawatan pesakit luar.

Hadir sama Guru Besar SK Cator Avenue, Ahmad Zahudi Abdul Aziz dan Ketua Pegawai Pendidikan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kinta Utara, Hasni Hashim.

Sementara itu, Hasni berkata, berdasarkan analisis pihaknya di peringkat daerah, ketika ini hanya terdapat tiga kes keracunan makanan daripada keseluruhan 166 buah sekolah di Daerah Kinta Utara pada tahun ini.

Beliau berkata, selain SK Cator Avenue, ia juga pernah dilaporkan berlaku di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Tanah Hitam dan SK Manjoi.

“Kita juga ada membuat langkah-langkah pengawalan misalnya melakukan penarafan kendiri kantin dan sekiranya skor yang diperoleh rendah, maka tahap kebersihan dan penyediaan makanan akan ditingkatkan.

“Kantin sekolah yang mendapat gred C dalam Penggredan Kantin Sekolah dilaksanakan oleh Jabatan Kesihatan negeri dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD), tidak layak mendapat lanjutan kontrak dan akan disenarai hitam selama setahun,” katanya. - UTUSAN ONLINE