Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam dan Infra­struktur, Pertanian dan Perladangan negeri, Abdul Yunus Jamhari berkata, elaun berkenaan akan diberikan kepada mereka yang layak dan yang memenuhi kriteria yang ditetapkan.

Katanya, kerajaan akan me­mastikan bantuan kepada golongan sasar diberikan kepada nelayan yang memerlukan.

“Rasionalisasi pembayaran elaun ini dilakukan untuk mengelak berlakunya ketirisan dalam pengagihannya.

“Ini kerana kerajaan perlu mengambil kira keadaan ke­wangan semasa negara,” kata­nya dalam sidang akhbar se­lepas program bersama nela­yan Daerah Kerian di Surau Kampung Raja Basha, Kuala Kurau, di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengarah Lembaga Ikan Malaysia (LKIM) negeri, Norfajarwati Baharudin.

Menurut Abdul Yunus, nelayan yang elaun mereka ditahan boleh mengemukakan rayuan mengikut prosedur yang ditetapkan menerusi persatuan nelayan kawasan masing-masing.

“Rayuan akan dipertimbangkan sekiranya pemohon mematuhi syarat yang ditetapkan,” katanya.

Sementara itu, Norfajarwati berkata, LKIM mengadakan hari bertemu pelanggan peringkat persatuan nelayan kawasan untuk meningkatkan perkhidmatan kepada nelayan.

Katanya, program itu memberikan peluang kepada nelayan untuk mendapatkan maklumat dan penerangan secara langsung berkenaan program, intensif dan bantuan di bawah LKIM.