Hisham Sahak, 39, yang me­rupakan kakitangan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) merupakan satu-satunya pemilik beca di bandar ini setelah pengangkutan itu lenyap sejak dua tahun lalu.

Menurutnya, arwah bapanya merupakan antara beberapa pe­ngusaha beca terakhir di bandar ini dan setelah bapanya meninggal dunia, tiada sesiapa yang meneruskan pekerjaan tersebut.

Katanya, malah sejak dua tahun lalu, pengangkutan beca tidak lagi wujud di bandar ini.

“Mulai malam tahun baharu lalu, saya menghidupkan semula beca, bukan sebagai pe­ngangkutan awam tetapi untuk pelancong bersiar-siar di bandar ini khususnya di sekitar Menara Condong Teluk Intan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Hisham berkata, idea untuk menghidupkan semula perkhid­matan itu setelah melihat beca tinggalan bapanya terbiar begitu sahaja di rumah.

Katanya, tiada apa yang hendak dimalukan apabila dia mengambil keputusan menyediakan perkhidmatan beca membawa pelancong yang ingin­ melihat Menara Condong di sini.

“Ini secara tidak langsung menghidupkan semula nostalgia beca sebagai penyeri bandar Teluk Intan suatu masa dahulu.

“Suatu masa dahulu terdapat tujuh pengusaha beca di sekitar bandar ini, namun lama kelamaan banyak beca yang dijual ke bandar-bandar tumpuan pelancong seperti di Melaka dan Pulau Pinang.

“Saya juga mahu melihat Teluk Intan mempunyai per­khidmatan beca untuk pelancong,’ katanya.

Menurutnya, dia mengenakan bayaran antara RM5 hingga RM10 dengan membawa pelancong ke lokasi menarik di sini antaranya tepian udang galah, melawat lokasi membuat bot dan kapal, berkunjung ke tempat makan yang jadi tumpuan ramai seperti Restoran Mi Rebus Mastan dan restoran nasi lambai.