Bapa kepada lima anak yang juga orang kurang upaya (OKU) itu menyifatkan wang elaun hospital harian itu sebagai ‘ha­diah’ di saat dia buntu selepas kehilangan pendapatan sepanjang dirawat di hospital.

“Jumlah itu mungkin tidak besar bagi orang lain, tetapi bagi kami sekeluarga yang amat memerlukan, ia cukup bermakna. Malah, jika tiada mySalam, tidak tahu bagaimana nasib kami setelah saya keluar hospital.

“Bayangkan, dirawat di hospital dengan bimbang memikirkan kewangan dan apabila keluar (hospital), ada pula duit di ta­ngan, rasa mahu menitiskan air mata. Rasa lega sangat,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Rancangan Perumahan Awam (RPA) 4, Jalan Sultan Iskandar Shah di sini baru-baru ini.

Menceritakan keadaannya, Mohd. Fauzi berkata, dia menjalani pembedahan di Hospital Taiping setelah terdapat jangkitan kuman pada besi yang dimasukkan ke dalam badannya kerana terlibat dalam kemalangan 12 tahun lalu.

Menurutnya, sepanjang 21 hari dirawat di hospital, dia beberapa kali diingatkan oleh rakan-rakannya untuk menuntut elaun harian hospital menerusi program mySalam.

Katanya, dia yang membuat tuntutan itu terkejut apabila permohonannya bukan sahaja tidak mengambil masa lama malah dimaklumkan berjaya hanya dalam tempoh seminggu sahaja.

“Saya tiada insurans perubatan dan pendapatan kami hanya bergantung dengan hasil jualan burger serta elaun sebanyak RM400 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Bagi orang susah, bantuan menerusi mySalam ini amat bagus kerana golongan seperti kami amat memerlukannya.

“Selain itu, masa menunggu yang singkat juga tidak menambah beban kami yang telah sedia susah,” katanya yang berterima kasih kepada kerajaan dan berharap program itu akan diteruskan untuk masa akan datang.

Habis//