Menurutnya, kerajaan negeri telah mengenal pasti calon Datuk Bandar tersebut dan telah mendapat perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Beliau berkata, pelantikan Datuk Bandar Ipoh yang baharu akan dibuat tidak lama lagi.

“Datuk Bandar Ipoh yang baharu akan memulakan tugas bulan ini.

“Namanya tak sesuai saya umumkan sekarang tapi beliau merupakan seorang anak tempatan dari Perak, telah berkhidmat di merata tempat, berpengalaman dan boleh berbahasa Jepun,” katanya.

Beliau berkata demikan ketika ditemui pemberita selepas majlis peletakan batu asas Pusat Pengajian Islam At-Taiyyibin di Kampung Tersusun, Tanah Hitam, Chemor dekat sini hari ini.

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru, Paul Yong Choo Kiong berkata, Datuk Bandar Ipoh yang baharu akan dilantik bagi menggantikan Datuk Zamri yang dilaporkan tidak hadir bertugas sejak beberapa bulan lalu.

Ditanya mengenai ‘kehilangan’ Zamri, Ahmad Faizal berkata, beliau tiada maklumat mengenai Zamri.

“Dia cuma tidak kelihatan, kita tiada maklumat mengenai beliau, itu sahaja yang menjadi masalah.

“Saya serahkan perkara ini kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK). Beliau (Zamri) mengalami sedikit masalah jadi sebelum kita ambil apa-apa keputusan saya fikir biarlah SUK siasat sedalam-dalamnya,” katanya. - UTUSAN ONLINE