Sebanyak dua periuk besar bubur lambuk dimasak pada setiap hari Rabu dan Khamis di masjid ini melibatkan kira-kira 10 orang sukarelawan.

Imam Besar Masjid Negeri, Abdul Farid Salleh berkata, bahan-bahan masakan termasuk beras, daging ayam dan rempah-ratus adalah hasil sumbangan daripada orang ramai.

Menurut beliau, ada kalanya pihak masjid memasak tiga periuk besar bubur lambuk tetapi bergantung kepada sumbangan bahan mentah yang diterima dan tenaga sukarelawan.

“Ini memang menjadi amalan pihak Masjid Negeri setiap kali tibanya bulan Ramadan. Cuma bubur lambuk tidak disediakan setiap hari seperti di tempat lain.

“Bubur lambuk ini diberikan kepada kariah atau orang ramai yang datang ke masjid sehingga habis diagihkan,” katanya ketika ditemui hari ini.

Kata Abdul Farid, bubur lambuk mula dimasak seawal pukul 8 pagi dan siap untuk diagihkan sebelum solat Zohor.

“Kita amat mengalu-alukan sekiranya ada mana-mana pihak yang ingin menghulurkan sumbangan dan boleh berhubung dengan petugas di Pejabat Pengurusan Masjid Negeri,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE