Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, ia hasil komitmen semua pihak termasuk kontraktor dan pihak berkuasa tempatan.

Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sungai Rapat, baki 10 peratus hanya melibatkan kerja-kerja hiasan dalaman serta lanskap bagi memperindahkan kawasan masjid.

“Perbincangan saya bersama ahli jawatankuasa masjid, kontraktor dan pihak Majlis Daerah Batu Gajah hari ini adalah bagi mengkoordinasi kerja-kerja akhir yang perlu diselesaikan.

“Siap kelak masjid ini akan diserahkan kepada pihak pengurusan dan seterusnya boleh digunakan oleh para kariah,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat tapak masjid baharu Kampung Seri Jaya di sini hari ini.

Masjid baharu yang terletak kira-kira 200 meter dari masjid lama ini akan kekal menggunakan nama sedia ada iaitu Masjid Al-Hidayah.

Kerja-kerja pembinaan masjid bernilai RM2.5 juta ini yang boleh memuatkan 500 jemaah bermula pada tahun 2014 tetapi terbengkalai setelah siap kira-kira 80 peratus.

Projek ini berjaya dipulihkan semula setelah melantik kontraktor baharu pada Februari lalu seterusnya disiapkan mengikut jadual. - UTUSAN ONLINE