MOHAMAD ZAINAL ABDULLAH
MOHAMAD ZAINAL ABDULLAH 

Terbaharu, lelaki yang kudung kaki kanan itu ditahan polis hari ini setelah disyaki terlibat dalam beberapa kes pecah rumah dan curi motosikal di sekitar daerah Perak Tengah bulan lalu.

Lelaki berusia 32 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah menerusi Op Pintu di hadapan sebuah kedai di Jalan Tun Razak di Ipoh pada pukul 12.15 pagi.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Mohamad Zainal Abdullah berkata, usaha mengesan lelaki itu dilakukan sejak dua minggu lalu selepas beberapa kejadian pecah rumah dan curi motosikal dilaporkan kepada pihak polis.

Katanya, lelaki itu bagaimana­pun berjaya dikesan minggu lalu namun dia berjaya meloloskan diri dengan meninggalkan motosikal yang dicuri dan tongkat yang dipakainya.

“Berdasarkan maklumat dan risikan yang dilakukan, kita berjaya memberkas lelaki terbabit dalam serbuan di Ipoh pagi tadi. Lelaki itu ditahan bersama sebuah motosikal disyaki dicuri dan dua utas jam tangan.

“Turut dirampas dalam serbuan itu ialah peralatan yang dipercayai untuk pe­cah rumah termasuk gunting, sebilah pisau pemotong sayur dan tiga batang playar,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Katanya, ujian saringan air kencing terhadap lelaki itu mendapati positif dadah jenis morfin dan pemeriksaan juga mendapati dia turut mempunyai lapan rekod jenayah lampau bersabit kes jenayah dan dadah.

“Siasatan awal terhadap suspek mengaku terlibat dalam enam kes pecah rumah dan curi motosikal di sekitar daerah Pe­rak Tengah sejak bulan lalu.

“Lelaki itu ditahan reman empat hari untuk siasatan mengikut Seksyen 379 A dan Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” katanya.