Pengagihan bungkusan makanan menerusi program Jom Singgah sahur yang juga mendapat kerjasama Hotel Taiping Perdana itu telah ke beberapa lokasi termasuk Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taiping, BBP Kamunting, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping dan Hospital Taiping.

Turut menjadi lokasi singgah sahur ialah Rumah Seri Kenangan dan Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Taiping di mana penumpang yang berada di stesen itu turut menerima bungkusan makanan bersahur.

Ketua Perhubungan Awam dan Pemasaran KPJ TMC, Mohd. Faizal Isa berkata, program sempena Ramadan itu merupakan pertama kali dianjurkan dengan kerjasama Hotel Taiping Perdana.

Katanya, selain berkongsi kegembiraan meraikan Ramadan, program itu juga bertujuan menghargai petugas-petugas sebelah malam yang komited melaksanakan tanggungjawab masing-masing.

“Selain kita meluangkan masa menyantuni penghuni di Rumah Seri Kenangan, kita turut mengunjungi beberapa agensi untuk mengedarkan makanan bersahur kepada mereka yang sedang bertugas.

“Sebanyak 200 bungkusan makanan sahur disediakan dan diedarkan kepada lebih 100 kakitangan awam dan swasta di beberapa agensi di daerah ini,” katanya ketika ditemui selepas melawat Rumah Seri Kenangan di sini hari ini.

Turut serta dalam kunjungan itu ialah Pengurus Besar KPJ TMC, M. Renuga dan Pengurus Besar Hotel Taiping Perdana, Zol Maarof serta kakitangan kedua-dua pihak.

Menurut Mohd. Faizal, pihaknya merancang untuk menjadikan program seumpama itu sebagai aktiviti tahunan selain turut merangka program sosial lain.- UTUSAN ONLINE