Kali ini sebanyak 3,000 pek bubur lambuk dan nasi lemak diedarkan berbanding 2,000 sebelumnya di pekarangan butik pakaian Gondola31 di Bandar Meru Raya di sini.

Pengerusinya, Nassry Mardee berkata, sumbangan bagi program itu diterima daripada vendor-vendor butik berkenaan serta ahli-ahli kelab tersebut.

Katanya, kerja-kerja memasak termasuk menyediakan bahan-bahan dilakukan secara gotong-royong oleh ahli-ahli kelab dengan dibantu sukarelawan.

“Pada program terdahulu sambutan yang diterima amat baik apabila semua 2,000 pek bubur lambuk dan nasi lemak habis diedarkan dalam masa 15 minit.

“Menerusi maklum balas yang diterima ada yang memberitahu tidak sempat ambil kerana beratur panjang. Jadi kita rancang untuk ulangi program sama,” katanya ketika ditemui.

Menurut Nassry, program tersebut telah memberi peluang buat ahli-ahli kelab berkenaan yang ingin menyumbang pada bulan penuh keberkatan ini.

Katanya, apa yang berbeza apabila program kali ini turut disertai anggota Balai Polis Jelapang diketuai ketua balai, Inspektor Rashidi Othman.

“Penglibatan pihak polis ini adalah bagi menjayakan program kepolisan komuniti bersama masyarakat setempat.

“Kita amat berbesar hati apabila Rashidi bersama beberapa orang anggotnya turut mengedarkan bubur lambuk dan nasi lemak kepada orangramai,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE