Disertai hampir 400 peserta termasuk dari negara luar seperti Indonesia, Brunei, Chile, Perancis, Singapura dan Jerman, ia menawarkan perlumbaan berakit arus deras, kayak dan tubing.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri, Tan Kar Hing berkata, pihaknya sentiasa memberikan sokongan terhadap usaha merancakkan pelancongan sukan di negeri ini.

Beliau berkata, lebih menarik, ia turut membabitkan keterlibatan masyarakat setempat termasuk sukarelawan dari institusi pengajian tinggi (IPT) selain mengetengahkan unsur pendidikan mengenai konservasi sungai.

“Dalam Kampar River Festival yang baru masuk tahun pertama penganjurannya, sudah ada persidangan geopark, jadi saya merasakan ia cukup lengkap.

“Oleh itu, kita boleh membangunkan lagi tempat ini iaitu Dataran Jahang di sini supaya ia boleh menampung lebih banyak pelancong pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan majlis perasmian festival berkenaan yang berlangsung di Dataran Kampung Jahang di sini hari ini.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tualang Sekah, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi dan pengarah program, Mohd Hasrol Kamis dari Radak Adventure Consultant.

Dalam pada itu, Kar Hing berkata, selain di Kampar, terdapat beberapa lokasi lain yang sesuai untuk dibangunkan sebagai kawasan tumpuan aktiviti sukan lasak seperti di Ulu Slim, Sungkai dan Kuala Kangsar.

“Oleh itu, kita merancang dari semasa ke semasa untuk menganjurkan program sebegini dalam skala lebih besar pada masa akan datang,” katanya. - UTUSAN ONLINE