Timbalan Menteri Kerja Raya, Mohd. Anuar Tahir berkata, pembukaan jajaran melibatkan laluan dua lorong dua hala itu akan menjadi laluan pintasan penduduk setempat di sekitar Sabak Bernam, Bagan Datuk, Hutan Melintang, Teluk Intan dan Sitiawan.

Katanya, penggunaan jajaran itu juga akan memendekkan masa perjalanan dengan anggaran 11 minit berbanding penggunaan laluan FT 005 iaitu Klang-Teluk Intan.

“Buat masa ini, pembukaan jajaran di Seksyen 8 daripada keseluruhan 12 seksyen Lebuhraya WCE ini bersifat setempat iaitu memberi kemudahan kepada penduduk yang tinggal di kawasan berhampiran.

“Bagaimanapun, apabila siap sepenuhnya nanti, lebuh raya ini akan menjadi sistem penyuraian trafik dan menjadi laluan alternatif kepada Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) terutama ketika musim perayaan bagi perjalanan dari Lembah Klang menuju ke utara Semenanjung dan sebaliknya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Pembukaan Jajaran Seksyen 8 WCE, Persimpangan Hutan Melintang ke Teluk Intan di Plaza Tol Teluk Intan di sini hari ini.

Menurut beliau, jajaran pertama WCE yang dibuka kepada orang awam itu tidak akan dikenakan bayaran tol sehingga keputusan mengenai polisi pengenaan tol dan kadarnya diputuskan oleh kerajaan. - UTUSAN ONLINE