Ia penting kerana faktor berkenaan turut diambil kira oleh pelanggan yang berpuas hati apabila gerai yang dikunjungi bersih.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rapat, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, ini termasuk menjaga penampilan diri menerusi pemakaian apron dan penutup kepala semasa berniaga.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri turut menasihatkan peniaga supaya memastikan makanan yang dijual bertutup dan disimpan dalam bekas yang bersih.

“Pelanggan juga perlu memainkan peranan dengan mengamalkan konsep perhati dan pilih sebelum membeli makanan serta memilih gerai makanan yang bersih.

“Selain itu, peniaga juga perlu meletak tanda harga dengan jelas. Kalau boleh kuantiti dan harga jualan itu hendaklah berpatutan agar pelanggan pun berpuas hati.

“Ini kerana selain berniaga, mereka sebenarnya menyediakan makanan bagi memudahkan orang ramai untuk berbuka puasa,” ujarnya.

Beliau ditemui selepas merasmikan Bazar Ramadan Medan Gopeng di sini serta mengedarkan apron dan topi kepada 130 peniaga di bazar berkenaan hari ini.

Semasa kunjungan tersebut, Nizar turut beramah mesra dengan para pengunjung dan mengedarkan bubur lambuk.

Dalam pada itu kata beliau, para peniaga bazar Ramadan di bandar ini juga harus bekerjasama dengan pihak Majlis Bandaraya Ipoh dalam memastikan kebersihan tapak perniagaan masing-masing.

“Bagi orang ramai pula, mereka dipesan supaya membawa beg sendiri misalnya beg kitar semula bagi mengurangkan penggunaan beg plastik dan dapat menjaga kelestarian alam sekitar,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE