Pengerusi Jawatankuasa Pembangangunan Belia dan Sukan negeri, Howard Lee Chuan How berkata, aktiviti itu sebaliknya dianjurkan  oleh Pusat Pembangunan Modal Insan Perak (PHCDC) yang merupakan satu pertubuhan bukan kerajaan (NGO).


Beliau berkata, PHCDC ialah badan pengiktirafan rasmi bagi pensijilan latihan kemahiran oleh pihak pentadbiran dahulu yang tidak menerima sebarang geran atau peruntukan kewangan tetap daripada kerajaan negeri.


“Pejabat saya dimaklumkan bahawa gegantung dalam bahasa Cina itu merupakan satu poster sampingan bagi salah satu acara yang sedang dipromosikan. Ini merupakan kesilapan pihak kontraktor yang mencetak dan menggantung gegantung terbabit.


“Sebenarnya terdapat 30 gegantung promosi dalam Bahasa Melayu, justeru gembar-gembur bahawa hanya gegantung dalam Bahasa Cina yang digantung adalah tidak tepat sama sekali,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. 


Beliau berkata demikian sebagai mengulas pelbagai tohmahan yang dibuat dalam media sosial termasuk bersifat perkauman dan fitnah yang menyalahkan kerajaan negeri.


Dalam pada itu, Howard berkata, kerajaan negeri akan menegur PHCDC mengenai penggunaan jata negeri Perak dalam bahan iklan yang bukan merupakan acara rasmi kerajaan negeri, justeru berharap insiden itu tidak akan berulang.


“Kepada pihak pembangkang yakni UMNO yang seringkali gelojoh menjadikan isu bahasa sebegini sebagai serangan politik murahan, nasihat saya supaya mereka membuat kajian yang cermat terlebih dahulu dengan mendapatkan fakta sahih yang sewajarnya,” katanya. - UTUSAN ONLINE