Mendapat idea daripada konsep perniagaan itu, seorang remaja perempuan di Parit 16/a, Sungai Lampam dekat sini, Nur Hamisah Ahmad Pandi, 21, menjalankan perniagaan menghantar makanan yang dipesan secara online iaitu menerusi Facebook, Whatsapp dan te­lefon termasuk di kawasan luar bandar.

Dia mula menjalankan perniagaan itu sejak setahun lalu dan antara makanan yang boleh dipesan pelanggan ialah chicken chop, ayam Korean cheese, ayam pedas Korean cheese, burger ayam crispy dan nasi goreng chicken chop.

Menurutnya, perniagaannya semakin mendapat sambutan dan pesanan makanan yang dihantar bukan sahaja di sekitar Pasir Salak tetapi sehingga ke Teluk Intan dan Bagan Datuk.

“Sebelum ini saya membantu keluarga menjual pisang dan cempedak goreng serta nasi ayam di tepi jalan, namun perniagaan itu tidak begitu me­nguntungkan.

“Saya berbincang dengan ahli keluarga untuk berniaga secara online kerana dengan cara itu pelanggan akan menerima pesanan mereka tanpa perlu datang ke kedai.

“Alhamdulillah sambutan yang diterima amat baik dan dapat menampung perbelanjaan keluarga dengan hasil jualan mencecah antara RM150 hingga RM250 sehari,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Nur Hamisah berkata, dia menempuh pelbagai pengalaman semasa menghantar makanan yang dipesan kepada pe­langgan.

Katanya, pelbagai ragam pelanggan yang menuntut kesabaran tinggi selain beberapa insiden lucu seperti makanan yang dipesan terjatuh di depan pelanggan.

Menurutnya, dia juga pernah sesat jalan kerana alamat yang diberikan tersilap atau tidak lengkap malah keretanya pernah kehabisan minyak di tengah jalan.

“Namun semua itu saya tempuh dengan kesabaran dengan sokongan ahli keluarga dan ibu bapa serta jiran.

“Harapan saya semoga diberikan kesihatan baik untuk memajukan perniagaan ini dengan membuka kedai sendiri,” katanya.