Rata-rata mereka juga menyifatkan pemberian tersebut sebagai rezeki menyambut Ramadan apabila bantuan tersebut dapat meringankan beban untuk membeli keperluan dapur.

Seorang penerima, Kadir Meera Abdul Rahman, 50, dari Taman Mas Baru, Chemor berkata, bantuan itu sangat membantu menampung perbelanjaan bulanan keperluan asas keluarganya.

“Alhamdulillah, saya bersyukur sangat kerana terpilih sebagai penerima bantuan ini bagi menampung perbelanjaan isteri dan dua anak untuk menyambut Ramadan.

“Saya hanya bekerja sebagai pemotong rumput dengan upah tidak menentu. Jadi bagi golongan seperti saya bantuan ini sangat-sangat dihargai,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Kad Prihatin Perak Bagi DUN Manjoi di Dewan Serbaguna Sungai Tapah, Manjoi di sini hari ini.

Majlis disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pendidikan Islam, Industri, Luar Bandar dan Pembangunan Usahawan negeri, Asmuni Awi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manjoi.

Bagi seorang lagi penerima, Noor Hapiza Yahya , 50, dari Chemor, bantuan itu dapat meringankan bebanan kewangan keluarganya apabila dapat menambah perbelanjaan dapur.

“Saya gembira apabila diberitahu oleh ketua kampung layak untuk menerima skim Kad Prihatin Perak.

“Saya ucapkan berbanyak terima kasih kepada kerajaan negeri yang mengambil berat terhadap nasib rakyat seperti saya,” katanya.

Kad Perak Prihatin yang dilancarkan pada 10 April lalu bagi membantu meringankan bebanan dan kos sara hidup membabitkan kira-kira 17,000 rakyat miskin tegar di negeri ini.

Sementara itu dalam ucapannya, Asmuni berkata, sumbangan yang diberi oleh kerajaan negeri itu membuktikan tiada golongan yang terpinggir di negeri itu untuk dibantu.

“Selain itu kad berkenaan terdapat pelbagai lagi skim bantuan yang boleh dimohon oleh rakyat mengikut kelayakan yang sewajarnya,” katanya. - UTUSAN ONLINE