Terdahulu, jenazah Allahyarham Datin Zaliha Nordin, 79, dibawa dari Kediaman Rasmi Menteri Besar dan tiba di Masjid Al-Khairiah di sini untuk disembahyangkan kira-kira pukul 10.15 pagi.

Ahmad Faizal mengimamkan sendiri solat jenazah sementara doa dibacakan oleh Imam Besar Masjid Negeri, Abdul Farid Salleh.

Ahmad Faizal turut mengusung jenazah ibunya sejauh kira-kira 200 meter untuk dikebumikan di sebelah kubur ayahnya, Allahyarham Datuk Azumu Tak.


MENTERI Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu tidak dapat menahan kesedihan ketika mengaminkan doa selepas solat jenazah ibunya, Allahyarham Datin Zaliha Nordin di Masjid Al- Khairiah, Kampung Kepayang di Ipoh hari ini. - UTUSAN ONLINE/KAMAL BASIR WAHAB

Hadir sama Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria dan Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad manakala bacaan talkin dibacakan oleh Abdul Farid.

Sementara itu, sejak malam semalam sehingga pagi ini, Kediaman Rasmi Menteri Besar di Jalan Raja Di Hilir di sini mula dihadiri barisan kepemimpinan kerajaan negeri termasuk exco, ketua-ketua jabatan serta orang ramai.

Turut berangkat memberikan penghormatan terakhir terhadap Allahyarham ialah Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa.


MENTERI Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menyiram air di kubur ibunya, Allahyarham Datin Zaliha Nordin 79, selepas pengebumian di Tanah Perkuburan Masjid Al- Khairiah, Kampung Kepayang di Ipoh hari ini. - UTUSAN ONLINE/KAMAL BASIR WAHAB

Allahyarham Datin Zaliha meninggal dunia pada pukul 7.25 malam semalam di Kampung Sungai Rokam di sini akibat sakit tua.

Allahyarham mempunyai lapan orang anak dan Ahmad Faizal merupakan anak ketujuh. - UTUSAN ONLINE