Anak-anak yatim yang berusia antara empat hingga 17 tahun itu dibawa membeli baju raya di Pasaraya Econsave di Bercham di mana mereka dibenarkan memilih sendiri pakaian bernilai RM50 setiap seorang.

Program yang masuk tahun ke enam diadakan itu merupakan anjuran bersama Persatuan Pegawai Kanan (Paduan) Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), Yayasan Abu Bakar, Kelab Sukan dan Kebajikan Media Perak (KSKMP), Hotel Impiana dan Pasaraya Econsave.

Timbalan Setiausaha Kehormat Paduan, Mohd. Syahrizal Azmi berkata, diharap inisiatif yang dilakukan menerusi program tersebut dapat menceriakan kanak-kanak berkenaan yang berpeluang memilih sendiri pakaian kegemaran masing-masing.

Katanya, kesemua anak yatim itu menerima peruntukan sebanyak RM100 hingga RM120 setiap seorang yang merangkumi baju raya dan peralatan persekolahan.

“Ini adalah merupakan program kali ke enam dianjurkan dan apa yang menarik selain membawa anak-anak yatim membeli baju raya, kita turut memberikan bantuan berupa barangan runcit kepada 20 orang ibu tunggal pada tahun ini.

“Kita berharap sumbangan ini dapat memberi keceriaan kepada mereka dalam membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri pada bulan hadapan,” katanya ketika ditemui selepas menemani anak-anak yatim tersebut membeli baju raya di Pasaraya Econsave di Bercham di sini hari ini.

Yang turut hadir, Presiden KSKMP, Rosli Mansor Ahmad Razali; Pengurus Econsave cawangan Bercham, Shah Effendy Rosman; Pengurus Pertubuhan Badan Kebajikan Anak-anak Yatim Darussalam, Norizan Razali dan Pengarah Jualan dan Pemasaran Hotel Impiana, Normah Ahmad. - UTUSAN ONLINE