Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, program bersifat kesukarelawanan dan pemerkasaan masyarakat itu adalah sebagai perluasan kepada program Ikon Gigi yang telah dimulakan pada tahun 2014.

Beliau berkata, ketika ini, terdapat sebanyak 500 sukarelawan Ikon Gigi terdiri daripada kumpulan profesional termasuk suri rumah yang bertindak menyampaikan mesej-mesej kesihatan pergigian kepada 30,000 orang pada tahun lalu.

“Pada tahun 2018, seramai 46,898 Orang Asli di seluruh negara telah menerima manfaat perkhidmatan kesihatan pergigian. Namun begitu, ia hanya meliputi 26.3 peratus daripada keseluruhan populasi Orang Asli di Malaysia.

“Satu kajian mengenal pasti tabiat dan kepercayaan Orang Asli mendapati berubat sendiri merupakan kaedah utama penyembuhan. Namun, sekiranya masih tidak sembuh, mereka akan meminta bantuan, justeru individu berpengaruh seperti tok batin memainkan peranan penting dalam kesihatan masyarakat Orang Asli itu sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran program Ikon Gigi Orang Asli peringkat kebangsaan 2019 di Kampung Orang Asli Menderang 1, Sungkai di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia negeri, A. Sivanesan dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), Prof. Dr Juli Edo.

Sebanyak 21 Ikon Gigi Orang Asli yang dilantik itu terdiri dari tok batin melibatkan daerah Batang Padang, Muallim, Kampar, Kinta, Perak Tengah dan Hilir Perak.

Sementara itu, Tok Batin Kampung Ras di Rancangan Penempatan Semula (RPS) Pos Jernang, Nasir Bah Mandong, 36, berkata, sejak dilantik menjadi Ikon Gigi Orang Asli, dia mula menyedari kesihatan gigi itu sangat penting dalam kalangan masyarakat di pedalaman khususnya melibatkan anak buahnya.

“Apabila saya pulang dari mengikuti kursus, saya membuat hebahan kepada penduduk kampung tentang pentingnya penjagaan gigi.

“Jika kita tidak menjaga gigi, kita akan dibelenggu dengan penyakit,” katanya. - UTUSAN ONLINE