Program agihan ini dilakukan oleh Kelab Usahawan Bandar Meru Raya dengan kerjasama Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Tambun.

Timbalan Pengerusi Kelab Usahawan Bandar Meru Raya, Nizam Baharudin berkata, pihaknya tidak menjangka orang ramai datang lebih awal dan beratur panjang.

“Sepatutnya program hari ini bermula pukul 4 petang tetapi sudah ramai orang mula berkumpul iaitu sekitar pukul 3.30 petang lagi.

“Oleh kerana tidak mahu mereka yang telah beratur menunggu lama maka kami terus sahaja mengedarkan pek-pek makanan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurut Nizam, program tersebut pertama kali diadakan oleh pihaknya sebagai satu inisiatif kebajikan bagi meraikan Ramadan.

Katanya, sambutan daripada orangramai juga adalah di luar jangkaan kerana ia hanya dimaklumkan melalui laman media sosial.

“Bagi menjayakan program ini kita menerima sumbangan daripada Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Tambun.

“Melihat sambutan baik ini kita berhasrat untuk melakukan lagi pada masa hadapan selain mengalu-alukan kerjasama daripada mana-mana pihak,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE