Program julung kali yang dianjurkan Unit Dakwah Orang Asli Agama Islam Daerah Kuala Kangsar dengan kerjasama Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lintang itu turut mendapat sokongan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan Badan Amal dan Usaha Isteri Negeri Perak (Baiduri) Parlimen Sungai Siput.

ADUN Lintang, Datuk Zolkafly Harun berkata, pasangan Orang Asli yang berusia dalam lingkungan umur 18 hingga 43 tahun itu terdiri daripada penduduk Kampung Kajang, Pos Yum, Pos Legap, Pos Piah dan sekitar kawasan Jalong.

“Mereka yang berminat untuk melangsungkan perkahwinan ini hanya perlu mendapatkan persetujuan keluarga dan memberi MyKad. Selebihnya, urusan pendaftaran perkahwinan secara dalam talian, kita uruskan dan permudahkan tanpa sebarang bayaran.

“Tujuan kita menganjurkan program ini bukan sahaja untuk memakmurkan dan meningkatkan syiar Islam, tetapi kita juga hendak memudahkan pasangan selain memberi kesedaran kepada masyarakat untuk menjamin kesucian keturunan melalui perkahwinan,” katanya selepas merasmikan program tersebut.

Yang turut hadir Pegawai Tadbir Agama Daerah Kuala Kangsar, Burhanuddin Md. Dali dan Penyelaras Baiduri Parlimen Sungai Siput, Datuk Zaitun Ab. Rahman.

Seorang pengantin, Zulhilmi Abom, 22, yang telah mengenali pasangannya, Norlia Kadir, 18, sejak setahun lalu, mengakui seronok bercampur gementar ketika dinikahkan secara beramai-ramai.

“Kami mula bertemu ketika berada di pekan. Pada mulanya, saya tidak berani untuk menegurnya tetapi dia merupakan seorang yang peramah,” katanya.

Sementara itu, pasangan Kamisi Long, 43, dan Norizan Shamsudin, 19, walaupun usia jauh berbeza, ia tidak menghalang mereka untuk mendirikan rumah tangga.

“Saya seronok kerana pertama kali melaluinya (nikah secara beramai-ramai). Lagipun, ia memudahkan serta menjimatkan kos,” kata Kamisi.

Bagi Muhammad Hidayat Ahab, 21, pula yang disatukan bersama isterinya, Haimi Anjang, 20, dari Kampung Perwor, dia bersyukur kerana hasrat untuk mengahwini rakan sekolahnya itu akhirnya menjadi satu kenyataan.

“Harapan saya hanya satu iaitu agar perkahwinan yang dibina ini berkekalan sehingga akhir hayat,” katanya.