Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan negeri Johor, Mohd. Khuzzan Abu Bakar berkata, arahan itu bertujuan untuk membolehkan siasatan serta pemantauan di kawasan sekitar dijalankan.

“Sekolah terlibat ialah Sekolah Agama Taman Mawar, Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Gudang 4, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Gudang 2, Tadika PASTI dan Tadika Pintar Bistari yang kesemuanya melibatkan seramai 3,000 murid dan pelajar.

“Arahan ini sebagai langkah berjaga-jaga agar insiden pencemaran udara sehingga menyebabkan 13 murid dan kakitangan Sekolah Rendah Agama (SRA) Taman Mawar, Pasir Gudang mengalami simptom muntah-muntah, pening kepala dan sesak nafas daripada berulang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Bilik Gerakan Pemantauan Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang di sini, sebentar tadi. - UTUSAN ONLINE