Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri, Dr. Mohd. Mazri Yahya berkata, bencana kedua sudah berlaku lebih 10 hari tanpa penjelasan yang memuaskan oleh pihak kementerian terbabit dan sangat meresahkan rakyat tempatan.

“Kenyataan menteri pada 28 Jun lalau bahawa udara tercemar ini mengandungi pelbagai gas toksik termasuk tiga gas yang bersifat karsinogen iaitu gas metil merkaptan, akrilonitril dan akrolein sangat membimbangkan penduduk sekitar Pasir Gudang.

“Di samping kesan sesak nafas dan masalah paru-paru, gas toksik yang dinyatakan oleh menteri tersebut boleh memberikan kesan jangka panjang sebagai penyebab kanser jika terdedah pada kuantiti yang tinggi.

“Sekiranya ini berlaku, maka sememangnya ia merupakan satu tragedi yang besar kepada negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Justeru Pas Johor merasakan bahawa Kementerian Kesihatan perlu mengambil langkah proaktif dengan mengkaji insiden penyakit kanser dalam kalangan penduduk Pasir Gudang.

“Ini boleh didapati daripada National Cancer Registry Institut Kanser Negara,” ujarnya dan Pas Johor menyeru pihak kerajaan melaksanakan tindakan pencegahan segera secara komprehensif bagi mengatasi pencemaran kedua.

Katanya, menurut rekod Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, terdapat 250 kilang berasaskan kimia di Pasir Gudang.

Bilangan itu katanya, merupakan angka yang sangat tinggi tanpa sebarang pengawalan secara sistematik dibuat bagi mengesan pencemaran udara dengan segera.

Justeru ujarnya, langkah drastik perlu dilaksanakan bagi menghadkan kewujudan kilang berasaskan kimia di Pasir Gudang.

Penggunaan pengesan kualiti udara dan air perlu disediakan di kawasan perindustrian dan sistem saliran serta dipantau secara berterusan oleh pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS), katanya.

PAS Johor juga menyokong penuh cadangan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar supaya kerajaan negeri menutup atau memindahkan mana-mana kilang yang memberi impak negatif kepada alam sekitar.

Tambahnya, pihak kerajaan tidak sepatutnya berkompromi dengan kilang yang menjadi penyebab kepada pencemaran udara semata-mata untuk kepentingan ekonomi tetapi mengabaikan kesihatan penduduk di Pasir Gudang. - UTUSAN ONLINE