Penganjur program, Waqaf An-Nur Corporation Berhad (WANCorp) dalam satu kenyataan memberitahu, pembatalan program itu ekoran penularan poster ceramah yang mengaitkan penganjurannya dengan parti politik tertentu. 

"Pembatalan program itu selaras dengan peraturan syarikat yang tidak mahu dilibatkan dengan mana-mana unsur politik dalam sebarang aktiviti anjurannya. 

"WANCorp turut menafikan pembatalan majlis ceramah agama itu adalah atas arahan kerajaan negeri," menurut kenyataan itu. 

Hari ini tular dalam media sosial beberapa keping gambar dan video berdurasi 2 minit 25 saat yang menunjukkan seorang individu memberitahu hadirin yang hadir bahawa majlis tersebut dibatalkan pihak kerajaan negeri.

Difahamkan juga kedua-dua penceramah jemputan itu telah pun tiba di lokasi ceramah sebelum dimaklumkan pembatalan program berkenaan pada saat-saat akhir. - UTUSAN ONLINE