Kurator Lembaga Muzium Ne­­geri Sembilan (LMNS), Aziz Mohd. Ghorip berkata, pame­ran yang diadakan sempena cuti sekolah itu dianjurkan dengan kerjasama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) dan Muzium Negeri Kelantan.

“Melalui pameran ini, kita ma­hu memberi pendedahan kepada masyarakat di samping pe­ngetahuan mengenai sejarah ketamadunan zaman Mesir Purba.

“Ini juga dapat menarik minat generasi muda bagi memenuhi masa lapang dengan ilmu yang penuh bermanfaat serta menyediakan pelbagai info, artifak dan replika bahan-bahan berkaitan Mesir purba yang telah wujud sekitar 5,000 tahun lalu dan bertahan selama 3,000 tahun,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Pameran ini mengetengahkan sejarah tamadun Mesir purba dari zaman Raja Narmer sehingga kepada Firaun yang terakhir iaitu Cleopatra.

Aziz berkata, pameran yang julung-julung kalinya diadakan di Muzium Negeri dijangka menarik kehadiran pengunjung tempatan dan luar negara untuk melihat dengan lebih dekat lagi replika dan koleksi yang tidak pernah diketengahkan sebelum ini di negeri ini.

Pameran ini dibuka pada se­tiap hari bermula pada pukul 9.00 pagi hingga 5.00 petang dan masuk adalah percuma.