Ahli Dewan Undangan Nege­ri (ADUN) Jengka, Datuk Wan Salman Wan Ismail berkata, UiTM Pahang terbukti berjaya menyediakan peluang maksimum kepada bumiputera bagi mengikuti pendidikan dalam bidang sains, industri, teknologi, perdagangan, seni dan kemasyarakatan.

Kata beliau, sejak diwujudkan pada 1993 di atas tapak seluas 400 hektar di tengah-tengah Felda Jengka, UiTM Pahang mengorak langkah menjadi institusi unggul berteraskan kesarjanaan dan kecemerlangan akademik.

“Kecemerlangan UiTM Cawa­ngan Pahang dalam meneroka bi­dang profesional bertaraf dunia yang melahirkan graduan berdaya saing, global dan beretika menjadi kebanggaan warga nege­ri ini.

“Kecemerlangan itu perlu dikekalkan malah terus dipertingkat sejajar dengan disiplin ilmu dan kemudahan teknologi canggih,” katanya ketika berucap merasmikan majlis Kecemerlangan Akademik 2018 UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka, baru-baru ini.

Yang hadir sama, Rektor UiTM Cawangan Pahang, Prof. Dr. Mohd. Nazip Suratman.

Wan Salman berkata, visi untuk menjadikan UiTM sebuah universiti unggul berteraskan kesarjanaan dan kecemerlangan akademik bertepatan dengan aspirasi golongan bumiputera di negara ini.

Beliau berkata, kecemerlangan UiTM secara langsung meningkatkan persepsi dan kepuasan pe­langgan dengan menepati stan­dard 'duduk sama rendah berdiri sama tinggi' dengan universiti ternama di negara ini.

“Realitinya, produk UiTM bukan sahaja dapat memenuhi pasaran guna tenaga manusia tempatan malah bersedia berkhid­mat di peringkat global.

“UiTM Pahang sebuah organi­sasi cemerlang yang berjaya hasil komitmen tinggi oleh semua pihak termasuk menerusi dasar kerajaan, kesarjanaan pensyarah dan semangat juang mahasiswa sendiri,” katanya.