Malah, kejadian kebakaran itu turut merungkai keadaan sebenar kawasan berkenaan yang menjadi tempat pembuangan sampah haram sejak sekian lama sehingga menye­babkan Sungai Benus semakin tertimbus dan tercemar.

Tinjauan Utusan Malaysia di kawasan itu hari ini mendapati, selain sampah di tebing sungai yang terbakar, terdapat banyak lagi longgokan sampah di kawasan itu termasuk sisa kilang.

Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Pak Mat berkata, kawasan berkenaan yang terletak berhampiran Flat Benus di sini sudah lama dijadikan kawasan pembuangan sampah.

“Saya pelik kenapa kawa­san di tepi sungai dan berhampiran dengan rumah ini dijadikan tempat pembua­ngan sampah. Kalau kawasan haram, mengapa tiada pihak berkaitan yang mengambil tin­dakan sehingga kini?

“Mana golongan yang se­ring memperjuangkan alam sekitar? Mengapa dibiarkan Sungai Benus ini semakin ter­cemar akibat sampah,” kata­nya.

Menurut Pak Mat, jika kawasan itu berterusan dijadikan tempat pembuangan sampah, ia akan menyebabkan Sungai Benus tertimbus dan semakin sempit selain tercemar.