Presiden Pertubuhan Suara Anak Pahang (PSAP), Haslihelmy DM Zulhasli berkata, tindakan tegas harus diambil bagi memastikan dalang yang terlibat menghina Nabi Muhammad dikenakan hukuman yang setimpal.

Langkah itu katanya, penting bagi menjadi pengajaran kepada semua pihak di negara ini supaya tidak sesekali berani melintasi garis sensitiviti antara agama dan kaum.

“Perpaduan yang dibina sekian lama harus kita pertahankan. Rakyat mahukan perpaduan dan bukannya membakar sentimen perkauman dan keagamaan secara keterlaluan semata-mata untuk mendapat keuntungan politik.

“Penghinaan Nabi Muhammad bukan isu politik dan tidak harus dipolitikkan oleh pihak yang berkepentingan. Semua pihak tanpa mengira ideologi politik harus menolak perbuatan biadap ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Haslihelmy berkata, PSAP dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini akan terus berada di barisan hadapan untuk mempertahankan kesucian agama Islam, kedudukan orang Melayu tanpa mengetepikan dan mendiskriminasi hak kaum dan agama lain.

“Kita mestilah hidup saling hormat menghormati antara satu sama lain dalam konteks Malaysia yang terdiri daripada masyarakat berbilang bangsa dan agama.

“Saya percaya majoriti rakyat Malaysia mahukan dan cintakan perpaduan dan menolak sebarang usaha untuk membakar sentimen perkauman dan keagamaan yang melampau demi Malaysia yang lebih bersatu padu dan harmoni,” katanya. - UTUSAN ONLINE