Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri, Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, pada 15 Julai lalu, mangsa berusia 30 tahun menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya dari Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Katanya, lelaki dari LHDN itu memaklumkan bapa mangsa mempunyai sebuah syarikat dan akaun bank yang tidak membayar cukai perniagaan berjumlah RM17,600.

"Lelaki itu memaklumkan mangsa perlu membuat laporan polis jika menafikan perkara tersebut. Selepas itu panggilan disambungkan kepada seorang 'anggota polis' dari Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Setar yang menyatakan akaun bank bapa mangsa terlibat dengan aktiviti penggubahan wang haram.

"Mangsa menafikan dan selepas itu panggilan disambungkan kepada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Ketua Polis Alor Setar dengan nama Datuk Azlan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Wazir berkata, lelaki yang kononnya Ketua Polis Alor Setar itu meminta menyerahkan kesemua akaun bank dan nombor telefon mangsa dan bapanya bagi tujuan semakan Bank Negara Malaysia jika tidak mahu ditangkap.

Katanya, mangsa selepas itu menyerahkan nombor akaun bank dan nombor telefonnya kepada lelaki berkenaan.

"Pegawai tersebut memaklumkan jika menerima pesanan ringkas nombor kod pengesahan transaksi (TAC), mangsa perlu segera menghantar kesemua nombor TAC tersebut kepadanya untuk tujuan semakan Bank Negara.

"Selepas itu mangsa menerima dua khidmat pesanan ringkas (SMS) yang mengatakan berlaku dua transaksi pemindahan wang dari akaun bank mangsa berjumlah RM20,000. Mangsa membuat semakan bank dan menyekat satu transaksi RM10,000," ujarnya.

Tanbahnya, berasa ditipu dan menanggung kerugian RM10,000, mangsa membuat laporan polis di IPD Jerantut semalam.

Jelasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan. - UTUSAN ONLINE