Tidak mengira umur, ramai guru KAFA dari seluruh negeri mengikuti pengajian peringkat Diploma Pengajian Islam (Pendidikan) yang ditawarkan di pusat pengajian yang ditubuhkan pada 2017 tersebut.

Pengarah OUM Temerloh, Dr. Zuraimay Zainuddin berkata, sejak ditubuhkan sambutan daripada guru-guru KAFA untuk mengikuti pengajian di situ amat menggalakkan apabila merekodkan lebih 150 orang guru KAFA yang belajar di situ setakat ini.

“Ini merupakan gelombang baharu pendidik agama khususnya daripada kalangan guru KAFA yang menyambung pengajian di sini. Hari ini sahaja seramai 30 guru KAFA mendaftar untuk menyambung pengajian di sini.

“Malah kita turut menerima kemasukan daripada guru-guru pusat tahfiz daripada seluruh negeri yang berminat melanjutkan pengajian di sini dari semasa ke semasa,” katanya pada sesi pendaftaran pelajar baharu sesi kemasukan September 2018 di OUM Temerloh di sini, hari ini.

Dalam pada itu, seorang guru KAFA, Kamisah Mohamed Yunus, 50, berkata, dia yang telah 14 tahun menjadi guru KAFA mengambil keputusan menyambung pengajian peringkat diploma bagi mening­katkan ilmu dan kerjayanya.

“Saya mendapat galakan daripada suami dan lima anak saya termasuklah tiga orang yang telah menamatkan pengajian di universiti dan dua lagi yang sedang belajar di universiti.

“Walaupun agak berusia tetapi bagi saya tidak terlambat untuk saya belajar. Kalau dahulu saya tidak dapat menyambung pengajian kerana kemiskinan kini saya mendapat sokongan suami dan anak-anak,” katanya yang berasal daripada Felda Chegar Perah di Lipis.

Sementara itu, Kadi Daerah Temerloh, Abdul Aziz Abdul Karim berkata, beliau sendiri telah menyambung pengajian di OUM Temerloh dalam bidang Sarjana Pengajian Islam.

Katanya, pengajian di OUM yang diiktiraf kerajaan dan masa belajar fleksibel mendorongnya untuk terus berlajar yang mana beliau berhasrat menyambung pengajian ke peringkat doktor falsafah.

Dalam pada itu, bekas penyelia Guru KAFA Pahang yang juga pensyarah OUM Temerloh, Radziyuddin Sulaiman berkata, OUM merupakan platform terbaik kepada guru-guru KAFA memperkasakan lagi kerjaya mereka.

“Kalau dahulu mungkin ada pihak yang memandang rendah Guru KAFA berdasarkan kelayakan akademik mereka tetapi kini dengan adanya OUM ia dapat meningkatkan lagi kelayakan dan martabat mereka,” ujarnya.