Perkara itu diumumkan kerajaan negeri menerusi kenyataan media di sini hari ini, yang turut menyatakan jumlah itu meningkat sebanyak 13.3 peratus daripada tahun sebelumnya.

Kenyataan itu menambah, peruntukan itu diumumkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Sri Mohamed Azmin Ali pada Sesi Libat Urus Penyediaan Rancangan Malaysia Ke-12 yang dipengerusikan beliau bersama Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail di Wisma Sri Pahang di sini, Jumaat lalu.

“Peruntukan terbesar ialah kira-kira RM800 juta bagi projek pembinaan Lebuhraya Central Spine Road (CSR) Pakej 6 melibatkan jajaran bandar Bentong ke Simpang Pelangai, sebahagian daripada keseluruhan lebuh raya sepanjang 325 kilometer dari Kuala Krai, Kelantan ke Simpang Pelangai.

“Ia juga meliputi peruntukan RM446 juta bagi pembinaan dan penyiapan Loji Rawatan Air (LRA) Semambu Fasa 3 dengan kapasiti 146 juta liter sehari, yang telah diumumkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, sebanyak RM380 juta diperuntukkan bagi kerja menaiktaraf Laluan 3 dari persimpangan bertingkat Jalan Pintasan Gebeng-Sungai Ular di Kuantan sehingga ke Chendor yang merupakan sempadan Pahang dan Terengganu.

Pembinaan Hospital Maran pula menerima peruntukkan kira-kira RM200 juta manakala pembinaan Loji Rawatan Kumbahan Serantau dan Rangkaian Paip Pembentungan di Indera Mahkota di sini, diperuntukkan sebanyak RM231.12 juta.

“Sebanyak RM173 juta diperuntukkan bagi pembinaan dan menyiapkan Tangki Imbangan berkapasiti 106 juta liter sehari di Kawasan Perindustrian Gebeng di sini, selain RM18 juta untuk mengatasi masalah gangguan bekalan air di Raub.

“RM10 juta diterima bagi pembinaan ‘Kuantan Urban Recharge’ dan kerja berkaitan di Padang MPK 2 di sini selain RM6.98 juta untuk pembinaan Klinik Kesihatan Bukit Fraser dan RM1.5 juta bagi kajian menaik taraf atau pembinaan pintasan jalan di Cameron Highlands,” menurut kenyataan itu.

Antara projek lain yang menerima manfaat peruntukan itu ialah kerja menaiktaraf di Pasar Besar Kuantan, pembinaan kompleks jualan dan restoran makanan laut di muara Sungai Kuantan serta pembinaan kemudahan awam di Taman Tasik Gambang di sini. - BERNAMA