Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Bioteknologi negeri, Datuk Seri Ir. Mohd. Soffi Abdul Razak berkata, usaha membangunkan tanah pertanian itu dilaksanakan secara berterusan setiap tahun.

Kata beliau, terdapat dua kategori tanah terbiar iaitu tanah darat seluas 25,489 hektar dan tanah sawah seluas 3, 900 hektar yang berpotensi dimajukan dengan pertanian komersial.

"Tanah terbiar ini antaranya akan ditanam dengan pelbagai jenis buah-buahan bernilai tinggi seperti durian klon dan durian kampung yang mendapat permintaan tinggi.

"Bagi mencapai sasaran ini, pemimpin masyarakat seperti penghulu dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung ( MKKK ) diarah memainkan peranan merancang serta memantau bagi memajukan pertanian di kawasan masing-masing," katanya selepas merasmikan program Pemerkasaan Tanaman Durian Dewan Undangan Negeri (DUN) Benta di sini.

Yang hadir sama Pengarah Pertanian negeri, Datuk Zahimi  Hassan.

Menurut Mohd. Soffi, agensi kerajaan seperti Jabatan Pertanian  sedia memberi bantuan menerusi pelbagai skim dan perkhidmatan kepada para petani untuk mengusahakan tanah-tanah terbiar agar mencapai matlamat Pahang sebagai hab pertanian di negara ini.

Beliau berkata, antara bantuan disediakan Jabatan Pertanian adalah mengadakan kursus cantuman dewasa pokok durian ditukar kepada varieti terpilih yang diperlukan di pasaran tempatan dan luar negara.

"Kepelbagaian tanaman buah-buahan bermusim di Pahang menjadikan negeri ini pengeluar buah-buahan terbesar khususnya durian spesies Musang King," ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, usaha sedang dijalankan bagi mendaftarkan nama spesies durian kampung bermutu tinggi seperti durian tembaga dan Pekan Royale.

"Sebenarnya, banyak durian kampung yang berkualiti tetapi tidak diberi nama khusus dan diberi perhatian menyebabkan jenis durian itu tidak dikenali berbanding durian klon," katanya. - UTUSAN ONLINE