meluluskan pembukaan tanah perindustrian baharu seluas 1,214.06 hektar dekat Pelabuhan Kuantan di sini sebagai Taman Perindustrian Antarabangsa Kuantan (KIIP).

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, terdapat juga cadangan untuk mewujudkan secara eksklusif Taman Perindustrian Pahang-Singapura seluas 485.62 hektar yang terletak di kawasan strategik bersebelahan Jalan Kuantan-Pekan.

"Selain itu, cadangan membangunkan Taman Aeroangkasa Pahang di sebuah kawasan yang sedang dikenal pasti yang fungsinya seakan-akan Taman Automatif Pekan (PAP) sedia ada," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Forum Pelaburan Pahang 2019 anjuran Kerajaan Pahang dengan kerjasama Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura dan Persekutuan Pengilang-pengilang Singapura yang berlangsung dua hari sehingga esok di Singapura.

Forum yang disertai lebih 130 peserta termasuk 83 syarikat dari Singapura dan 23 syarikat multinasional itu turut dihadiri Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura, Datuk Zainol Rahim Zainuddin; Presiden Persekutuan Pengilang-pengilang Singapura, Datuk Seri Douglas Foo dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr. Sallehuddin Ishak.

Menurut Wan Rosdy, taman perindustrian seperti Kawasan Perindustrian Gebeng di bawah seliaan Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) telah lama wujud dan bersedia menerima pelaburan pada bila-bila masa.

Kerajaan negeri juga, kata beliau, sedang rancak menerima kemasukan pelabur-pelabur ke Taman Maritim Tanjung Agas di Pekan dekat sjni yang merupakan sebuah kawasan meliputi 1,710.06 hektar.

Di bawah Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) pula kata beliau, sudah tersedia beberapa lagi taman perindustrian yang boleh menerima pelaburan daripada Singapura.

"Antara taman perindustrian itu ialah PAP iaitu yang mengeluarkan produk berasaskan automotif, Taman Halal Gambang yang menfokuskan kepada pengeluaran produk-produk halal sama ada yang berasaskan makanan atau bukan makanan dan Taman Teknologi Pahang yang memberi tumpuan kepada usaha mempromosikan kegiatan berasaskan sains serta teknologi.

“Kerajaan negeri amat komited untuk bekerjasama dengan semua pihak bagi memastikan apa juga pelaburan yang dibuat akan berjaya dan terus meningkatkan lagi kejayaannya,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menyatakan kerajaan negeri serius dalam usaha untuk menyediakan segala prasarana industri yang terbaik bagi memenuhi keperluan-keperluan termasuk utiliti oleh pelabur.

"Berkaitan pembekalan air misalnya, kerajaan negeri sedang bekerjasama rapat dengan Kerajaan Persekutuan untuk menangani isu-isu yang timbul terutama di kawasan-kawasan yang berlaku peningkatan besar kepada permintaan bekalan air.

“Kerajaan negeri sedang menimbang beberapa pilihan demi memastikan pembekalan air yang terjamin dan antaranya ialah usaha menambahbaik Logi Rawatan Air Semambu yang mana peruntukan RM 446 juta telah diluluskan sepertimana diumumkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, baru-baru ini,” katanya. - UTUSAN ONLINE