Bersatu Sabah (Perkasa) dan NGO Gabungan Mesra 30 mengadakan Program Ziarah Kasih di Maahad Tahfiz al-Amin Kampung Berhala Gantang di sini semalam.

Program ziarah yang dipenuhi pelbagai aktiviti bermula pukul 9 pagi itu disertai lebih 100 penghuni maahad tahfiz berkenaan.

Presiden Perkasa, Roslam Ariff berkata, selain pelbagai aktiviti pihaknya bersama NGO Islam lain turut sama menghulurkan sumbangan bagi membantu maahad tahfiz berkenaan.

“Tujuan program ini adalah untuk menyemai rasa tanggungjawab sosial ahli NGO seperti kami untuk sama-sama melakukan kerja-kerja kemasyarakatan dan merapatkan ukhuwah sesama Islam.

“Jadi kami amat berpuas hati dalam program ini yang dapat mencapai matlamat dan kami merancang melaksanakan lagi program secara berterusan,” katanya ketika ditemui dalam program tersebut.

Yang turut hadir, Pengetua Maahad Tahfiz al-Amin, Wahid Ghafar Ibrahim.

Roslam berkata, program sehari itu dimulakan dengan ucapan wakil NGO dan juga wakil pihak maahad sebelum majlis tahlil diadakan.

Katanya, majlis kemudiannya diteruskan dengan program ramah mesra dengan anak-anak tahfiz, penyampaian sumbangan dan lawatan di sekitar maahad tahfiz berkenaan.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihaknya akan terus mengadakan program seperti itu dan memainkan peranan dalam mengumpulkan lebih banyak NGO Islam bagi membantu masyarakat yang memerlukan.

Beliau turut mengalu-alukan mana-mana pihak atau individu yang ingin membantu dan turut sama menyampaikan sumbangan dalam setiap program yang diadakan pihaknya.