Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Nor Hisham Mohammad berkata, berdasarkan buki fizikal di lapangan, saksi, corak kebakaran dan kesan pada struktur rumah, siasatan yang dilakukan mengesan punca kejadian itu disebabkan kerosakan peralatan elektrik tersebut.

“Kita percaya bahawa pusingan kipas itu yang berada di ruang tamu tersekat disebabkan salah satu bearingnya rosak dan menyebabkan percikan api seterusnya merebak.

“Suis kawalan utama tidak melantik kerana kipas itu yang rosak dan aliran arus elektrik masih boleh berterusan.

Terdapat juga peralatan elektrik lain seperti televisyen tetapi disahkan ia ditutup sebelum penghuni masuk tidur kira-kira pukul 11.30 malam,” katanya.

Beliau ditemui selepas lawatan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan

Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah di lokasi kejadian hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.45 pagi Ahad lalu itu, Sharifah Azlina Syed Kassim, 37, yang dikatakan hamil tiga bulan dan dua anak lelakinya, Muhamad Haikal Hakimi, 11, serta Muhamad Adam Daniel, 7, ditemukan rentung di bilik belakang rumah sewa mereka yang terbakar.

Kebakaran berkenaan juga menyebabkan suaminya, Hairol Khalid, 38, Syed Azman Syed Kassim, 25, iaitu adik Sharifah Azlina; Norazilah Abdullah, 23, (isteri Syed Azman) dan Nor Syawalina, 19, (adik Norazilah) cedera maakala yang selamat ialah Muhammad Alif Asyraf, 6, (anak pasangan Syed Azman dan Norazilah).

Rumah bekas pemain kebangsaan yang juga jurulatih Batu 2 FC, Zulhamizan Zakaria yang diduduki bapanya, Zakaria Muhamad dan adiknya, Norhaminuddin turut musnah dalam kejadian itu namun kedua-dua mereka selamat. - UTUSAN ONLINE