Meskipun memerlukan per­belanjaan yang banyak dan menggembleng tenaga pelbagai pihak, usaha itu sebenarnya amat penting demi memastikan kelestarian alam berterusan.

Namun, penanaman seba­nyak­ 999 pokok hutan berhampiran Empangan Perting di sini sempena kempen Air Bersih Sejuta Pokok 999 pada 18 November tahun lalu yang dirasmikan Ahli Parlimen Bentong, Won Tack menjadi sia-sia apabila hampir kesemua pokok itu mati.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, hanya buluh yang dipacak bagi mengikat pokok hutan itu dapat dilihat di kawasan tersebut, sekali gus menjawab persoalan bahawa kempen dijalankan telah gagal.

Seorang peserta yang hanya mahu dikenali sebagai Hairi berkata, ketiadaan pemantauan dan sikap lepas tangan pihak ter­babit menyebabkan usaha penanaman pokok itu tidak berjaya.

Katanya, selain mati akibat cuaca panas, pokok yang dibiarkan di kawasan tidak berpagar itu juga turut dimakan binatang ternakan seperti lembu.

“Sepatutnya mesti ada peran­cangan dalam usaha ini terma­suk pembinaan pagar penghadang supaya haiwan tidak dapat masuk malah pemantauan berterusan perlu dilakukan,” katanya di sini hari ini.

Menurut Hairi, usaha murni berkenaan jelas menjadi sia-sia.

“Apa yang saya lihat selepas ditanam, pokok-pokok ini dibiar­kan tanpa sebarang pemantauan yang akhirnya merugikan masa dan wang. Lebih baik wang yang ada digunakan untuk membantu rakyat,” katanya.