Majlis serah terima tugas antara Wan Zahari dan Kama Azural di Ibu Pejabat polis Daerah (IPD), Raub disaksikan Pemangku Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Yusri Hassan Basri.

Kama Azural berkata, beliau akan meneruskan usaha yang dilakukan Wan Zahari di Raub bagi mengekalkan keamananan dan mencegah serta membanteras kegiatan jenayah.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Asisten Komisioner Wan Zahari Wan Busu yang telah meninggalkan rekod cemerlang dan saya akan teruskan legasi kepimpinan beliau ke tahap terbaik.

“Selain melakukan penambahbaikan saya akan menumpukan kepada usaha mendekatkan polis dengan masyarakat bagi memastikan kejadian jenayah dapat dikekang,” katanya pada Majlis Serah Terima Tugas di IPD Raub di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Wan Zahari berkata, selama empat tahun bertugas di IPD Raub beliau mendapat kerjasama yang baik daripada semua anggota dan pegawai dalam memastikan keselamatan dan keamanan masyarakat setempat.

Justeru beliau berharap, semua anggota dan pegawai akan terus memberikan sokongan kepada ketua polis baharu yang dilantik berkuatkuasa hari ini. - UTUSAN ONLINE