Jasvir yang juga Pengerusi Pertubuhan Jaringan Cemerlang Masyarakat Bersatu (JCMB) menghulurkan sumbangan bagi membaiki kelas-kelas yang bocor akibat ribut sejak tahun lalu.

Beliau berkata, sumba­ngan itu diharap dapat menyelesaikan masalah kebocoran bumbung yang telah lama membelenggu dan menggangu pembelajaran murid-murid di sekolah itu.

“Saya sendiri berasal daripada keluarga susah dan saya lihat pendidikan mampu me­ngubah kehidupan masyarakat, jadi saya terharu melihat berita yang disiarkan Utusan Malaysia me­ngenai masalah menimpa murid-murid di sini.

“Jadi saya harap selepas ini tidak akan berlaku kebocoran dan murid-murid dapat belajar dengan baik dan selesa serta selamat di kelas masing-masing,” katanya selepas memberikan sumbangan kepada Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Lebu, Ishak Mohamad Kasim semalam.

Yang hadir sama, Guru Besar SK Lebu Salina Amin.

Baru-baru ini Utusan Malaysia menerusi ruangan Rintihan Rakyat melaporkan keresahan warga sekolah berkenaan selepas dua kelas terpaksa ditutup kerana bumbung bocor teruk manakala empat kelas lagi dimasuki air yang terpaksa ditadah menggunakan baldi setiap kali hujan lebat.

Dalam pada itu, Salina berkata, sumbangan tersebut berjaya menyelesaikan segera masalah kebocoran dan mengelakkan kerosakan kepada sistem pendawaian dan siling yang lebih teruk pada masa akan datang.

“Terima kasih kepada Datuk Jasvir Singh kerana menyelesaikan segera masalah kebocoran ini bagi membolehkan kelas digunakan walaupun hujan lebat selepas ini,” ujarnya.