Muhammad Adwa Mohd. Salemi, 18, yang berpegang teguh dengan nasihat arwah bapanya supaya tidak berasa rendah diri dengan kecacatan berkenaan muncul sebagai pelajar cemerlang kategori khas dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2017 yang diumumkan hari ini.

Pelajar istimewa itu yang memperoleh 4A, 1A-, 1B+, 2B dan 1D berkata, dia sentiasa optimis dalam setiap perkara yang dilakukannya.

Menurutnya, keyakinan dalam dirinya adalah tinggi kerana selain berpegang dengan nasihat bapanya, dia juga tidak pernah lupa pesanan ibunya, Raihanah Jaffar, 60, supaya sentiasa bersabar.

“Arwah bapa sentiasa memberi kata semangat kepada saya supaya berusaha mencapai apa yang kita mahu. Semua itu memberi kesan mendalam menyebabkan saya melawan perasaan rendah diri,” katanya ketika ditemui di SMK Abdul Rahman Talib, di sini hari ini.

Muhammad Adwa berkata, dia mengulang kaji pelajaran selama empat jam sehari di sam­ping memberi sepenuh tumpuan dalam kelas.

“Saya juga bertanya kepada guru jika kurang faham sesuatu topik,” katanya sambil memberi­tahu dia hilang penglihatan mata kiri selepas terkena serpihan tin aerosol ketika berusia enam tahun.

Katanya, dia meminati sains dan berhasrat melanjutkan pengajian dalam bidang neurologi sebagai pakar bedah.

Sementara itu, Raihanah ber­syu­kur dengan kejayaan anak bongsunya daripada empat beradik itu meskipun mengalami masalah penglihatan.

“Kejayaannya itu adalah hasil usahanya selama ini yang dibantu guru dan rakan-rakan,” katanya.