Kebimbangan masyarakat peneroka dan pekebun itu ber­asaskan harga kelapa sawit sekarang sekitar RM320 satu tan metrik berbanding RM550 satu tan metrik sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14.

Abdul Hamid Shafie
Abdul Hamid Shafie 

Peneroka Felda Jengka 22 dekat sini, Abdul Hamid Shafie, 62, berkata, sekiranya harga buah kelapa sawit berada di bawah RM250 satu tan metrik, mereka tidak dapat mengambil hasilnya kerana kos lebih tinggi berbanding pendapatan.

Katanya, peneroka perlu membayar kos buruh, sewa lori, hutang dengan Felda dan lain-lain kos berkaitan menyebabkan pendapatan mereka mengecil.

“Ketika ini purata pendapatan peneroka sekitar RM900 tetapi setelah ditolak kos sewa lori, upah buruh dan lain-lain, pendapatan tunai sekitar RM100 hingga RM300 sahaja.

“Dengan pendapatan seba­nyak itu, ada dalam kalangan peneroka tidak mampu membayar bil elektrik dan air,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Abdul Hamid berkata, ekoran keadaan berkenaan, maka tidak menghairankan pertubuhan bukan kerajaan(NGO), parti politik serta pene­roka menghantar me­morandum sebagai manifestasi kebimbangan mereka dan pekebun kecil yang lain.

Dalam pada itu, peneroka Felda Bukit Tajau, Maran dekat sini, Nor Azhar Latif, 59, berkata, dengan harga hasil RM290 satu tan metrik sekarang, peneroka hanya memperoleh baki tunai sekadar antara RM100 hingga RM200 sebulan yang menyukarkan mereka meneruskan kehidupan biasa.

“Bagi peneroka peringkat satu, dua dan tiga yang menanam semula menghadapi masalah bayaran bantuan ta­nam semula bagi dua bulan terakhir tahun ini yang belum diterima.

“Peneroka Felda Bukit Tajau mengadakan perhimpunan aman baru-baru ini sebagai manifestasi rasa tidak puas hati terhadap layanan kerajaan terhadap warga Felda,” katanya.

Abdullah Abu Bakar
Abdullah Abu Bakar 

Sementara itu, Presiden Alumni Majlis Belia Felda Malaysia (AMBFM), Datuk Abdullah Abu Bakar menggesa kerajaan mencari mekanisme positif jangka pendek dan panjang bagi membantu warga Felda di seluruh negara.

Beliau yang juga generasi kedua Felda Lembah Klau, Raub berpendapat, antara langkah konkrit adalah menangguhkan potongan hutang pe­neroka, melunaskan bayaran buah tandan segar yang tertangguh dan memberi bantuan awal tahun.

“Kuasa beli warga Felda menyusut turut memberi kesan kepada perniagaan kedai kopi dan pekan sehari yang semakin lengang berbanding sebelum ini,” katanya.