Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Operasi Pendidikan) Kementerian Pendidikan, Shaari Osman berkata, mereka ke sekolah menggunakan bot yang disediakan oleh Jabatan Hal Eh­wal Orang Asli (Jakoa).

“Seramai 43 murid berdaftar pada tahun ini tinggal di Kampung Kuala Atuk, Yong dan Dedari yang terletak agak jauh dari sekolah.

“Waktu pembelajaran mereka tidak sama dengan murid-murid lain kerana mereka akan tiba antara pukul 8.30 pagi hingga 9 pagi ke sekolah,” katanya selepas mengadakan lawatan ke sekolah berkenaan semalam.

Yang hadir sama, Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Dr. Tajuddin Mohd. Yunus; Pegawai Pendidikan Daerah, Dr. Azman Uzir dan Guru Besar sekolah ber­kenaan, Yahya Ahmad.

Menurut Shaari, fokus utama program tersebut adalah menarik minat murid-murid suku Bateq datang ke sekolah sama ada rendah atau menengah.

“Saya berkesempatan menyambut ketibaan murid-murid menggunakan bot dan saya teruja melihat semangat mereka untuk hadir ke sekolah," ujarnya.

Beliau memberitahu, berlaku beberapa perubahan yang dapat dilihat hasil daripada program tersebut apabila semua murid suku Bateq datang dengan pakai­an sekolah yang lengkap malah mereka sudah boleh bergaul de­ngan murid-murid lain.

“Sebelum ini mereka datang dengan memakai pakaian biasa dan tukar di sekolah tetapi kini sudah berubah dan mereka lebih bersemangat untuk menuntut ilmu.

“Program ini akan diperluaskan ke kawasan lain yang mempunyai suku Bateq terutama di Kelantan,” katanya.