Sumbangan bendera atas inisiatif Jasvir Singh yang juga Pengerusi Jaringan Cemerlang Masyarakat Bersatu (JCMB) itu diserahkan kepada wakil penduduk untuk dikibarkan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ketari.

Antara kawasan yang menjadi lokasi pemasangan Jalur Gemilang berkenaan ialah Masjid Tengku Sulaiman Ketari, Kampung Ketari, Taman Bumi Cemerlang, Taman Cempaka dan Taman Aman.

Jasvir Singh berkata, sumbangan berkenaan merupakan inisiatif pihaknya dalam membantu masyarakat untuk sama-sama menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan.

"Saya lihat tidak banyak lagi Jalur Gemilang dikibarkan dan berasa perlu membantu memastikan sambutan kemerdekaan

yang sangat bermakna ini dapat diraikan serta disemarakkan.

"Saya berharap sambutan kemerdekaan kali ini dijadikan antara platform menekankan usaha memupuk perpaduan, semangat cintakan negara dan menonjolkan integriti serta jati diri dalam kalangan rakyat Malaysia," katanya selepas menyerahkan sumbangan Jalur Gemilang kepada Masjid Tengku Sulaiman.

Dalam pada itu, Imam Masjid Ketari, Romzan Mohamed Daud berkata, sumbangan Jalur Gemilang itu sangat bermakna dalam membantu pengurusan masjid menyemarakkan sambutan kemerdekaan.

"Setiap tahun memang kita mengibarkan Jalur Gemilang tetapi tidaklah banyak kerana berlandaskan kewangan terhad.

"Kali ini dengan sumbangan diberikan kita dapat mengibarkan lebih banyak Jalur Gemilang," ujarnya. - UTUSAN ONLINE