Mereka ialah Rahimi Ahmad, 39, dari Pulau Pinang, Mohd. Tarmizi Shuib, 42, (Kedah) dan Mohamad Nazril Hisham Omar, 46, yang berasal dari Kelantan.

Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, ketiga-tiga mereka kini berada di hospital negara berkenaan dan akan menjalani pembedahan termasuk seorang yang bakal menjalani pembedahan kali kedua.

“Saya difahamkan ketiga-tiga mereka dalam keadaan stabil. Pembedahan itu adalah bagi mengeluarkan peluru dan yang berkaitan dengan luka dialami.

“Selain itu terdapat dua anak Mohd. Tarmizi terlibat iaitu Mohamad Haziq, 17, yang setakat ini belum dapat dikesan manakala adiknya, Mohamad Hariz, 12, dirawat di hospital kanak-kanak kerana trauma dengan kejadian,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Indera Mahkota Utama di sini hari ini.

Dalam kejadian tembakan di Masjid Al-Noor Mosque dekat Hagley Park dan Masjid Linwood di Christchurch, New Zealand kira-kira pukul 1.40 petang waktu tempatan semalam, 49 orang dilaporkan terbunuh dan lebih 40 cedera.

Menurut Saifuddin, kerajaan akan membantu dari segi urusan membawa keluarga ketiga-tiga rakyat Malaysia yang cedera itu ke New Zealand.

“Wisma Putra sedang berurusan dengan keluarga mereka di New Zealand kerana ada dalam kalangan ahli keluarga mereka seperti anak atau ibu bapa berada di Malaysia.

“Kita akan cuba bantu uruskan perjalanan mereka ke sana dan mendoakan ketiga-tiga rakyat Malaysia yang cedera sembuh serta tiada perkara lebih mudarat berlaku. Kita juga doakan anak Mohd. Tarmizi ditemukan segara,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, kira-kira 1,000 rakyat Malaysia lain dan 208 mahasiswa negara ini yang berada di Christchurch dilaporkan berada dalam keadaan selamat.

“Setakat yang kita tahu, rakyat dan mahasiswa kita di sana selamat sebab pihak berkuasa New Zealand telah menangkap suspek dan meredakan keadaan.

“Nasihat yang diberikan supaya penduduk tidak keluar rumah namun kita dimaklumkan keadaan stabil serta selamat,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE