Wakil guru KAFA Muadzam Shah, Bukhari Hamzah berkata, ketika ini, kesemua mereka yang mengajar di 23 buah sekolah di Muadzam Shah berjawatan sambilan atau kontrak serta hanya dibayar elaun pada setiap bulan.

“Kami menyambut baik dan menyokong penuh usaha kerajaan untuk menaik taraf profesion guru KAFA termasuk mempertimbangkan cadangan lantikan ke jawatan tetap.

“Apa diharapkan, lantikan guru KAFA ke jawatan tetap dapat segera dilaksanakan dalam usaha membela kebajikan kami,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Sebelum ini, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh berkata, kerajaan sedang mengkaji untuk menaik taraf status guru KAFA terma­suk dilantik ke jawatan tetap dalam usaha membela kebajikan golongan ini.

Fuziah berkata, kajian itu dilaksanakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sebagai penyelaras program KAFA.

Bukhari berkata, baru-baru ini, seramai 140 guru KAFA telah me­ngadakan majlis solat dhuha dan hajat di Masjid Besar Muadzam Shah bagi memohon keberkatan Allah SWT supaya mereka memperoleh jawatan tetap.

“Selain itu, majlis yang turut dihadiri oleh Fuziah itu bertujuan memohon kejayaan murid tahun lima di Muadzam Shah yang telah selesai menduduki Ujian Penilaian Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (UPKK),” kata­nya.